FOLLOW ME

Sunday, May 29, 2011

Hadis berkenaan anak perempuan


Diriwayatkan dari Aisyah ra.:
Seorang ibu bersama dua orang anak perempuannya menemuiku untuk meminta (sedekah), namun tiada apa padaku kecuali sebiji kurma yang kuberikan kepadanya dan ia membahagikan kepada anak-anaknya, sedangkan ia sendiri tidak memakannya, setelah itu ia pun bangun dan pergi. Kemudian Nabi Muhammad Saw menemuiku dan kuberitahukan kejadian itu kepadanya. Nabi Muhammad Saw bersabda, “siapa pun yang diuji dengan anak-anak perempuannya dan ia menyenangkan mereka dengan kebajikan maka anak-anak perempuannya akan menjadi perisai mereka dari api neraka”.
 -Sahih Bukhari-

Shamril Salleh

Alhamdulillah Allah sememangnya amat menyayangi seorang insan yang amat bertuah ini, diberikan hidayah untuk berubah kepada yang lebih baik. Dikenali sebagai Sham Kamikaze kerana menubuhkan satu kumpulan rock yang diberi nama Kamikaze pada penghujung tahun 1999. Populariti Sham Kamikaze tak perlu diceritakan kerana sememangnya amat terkenal sebagai seorang penggubah muzik, komposer dan pemain gitar Malaysia yang sama keglamourannya seperti Man Kidal.

Namun hari ini bukan itu yang saya ingin ceritakan namun tentang bertapa besarnya kekuasaan tuhan, mengubah manusia hanya sekerdip mata, dulu bersubang, bergelang, berantai, berpakaian metal, bila kita celik yang nampak hanya yang nampak satu paras yang amat jernih airmukanya. Subhanallah.





“Siapakah yang dapat menyahut orang yang dalam kemudaratan, tatkala dia berdoa kepadaNya, serta Dia menghilang keburukan?!”. (Surah al-Naml: ayat 62).



Semoga perubahan ini berterusan dan berkekalan di dalam diri Sham dan semoga Allah terus memberikan rahmatnya kepada dia dan kita semua. InsyaAllah.

Sunday, May 8, 2011

Selamat Hari Ibu. Terima kasih mak.

Hari ini adalah hari istimewa kerana setiap tahun hari Ahad minggu kedua bulan Mei diisytiharkan sebagai Hari Ibu. Sebenarnya tidak perlu ditunggu pada hari ini kerana setiap ibu perlu disanjung dan diingat setiap hari. Namun bila adanya hari yang telah dikhaskan untuk setiap ibu dengan pelbagai iklan dan rancangan yang disiarkan sempena sambutannya maka ia adalah satu peringatan yang baik untuk anak-anak yang lupa akan wujudnya jasa insan yang bernama ibu.

Ibu saya hanya seorang yang bersekolah setakat darjah 2, tidak pandai membaca rumi namun boleh menulis dan membaca jawi dengan baik. Namun biasalah tatabahasa jawinya tidaklah sebaik orang-orang lain yang mendapat pendidikan yang lebih sempurna berbanding mak saya. Teringat saya pernah sekali mak menyuruh saya membeli barang-barang dapur di bandar dan senarai-senarai barang semuanya ditulis dengan jawi. Satu barang tu saya baca bunyinya 'kecing'. Huh? beli apa benda namanya kecing? saya pandang mak, saya tanya nak suruh beli kacang ke kecing? mak saya gelak sebab memang dia selalu tulis jawi letak titik suka hati saja. Hahaha sungguh manis kenangan tu. Duit yang diberi memang setiapkalinya akan ada baki dan baki tu mak suruh saya ambil dan masukkan dalam tabung arnab saya, memang tak pernah dia ambil duit baki dari saya. Terima kasih mak.

Setiap ibu semestinya seorang yang tabah dan cekal. Begitu juga mak saya. Sangat tabah membesarkan anak-anak hingga kesemuanya, Alhamdulillah, menjadi insan-insan yang berguna  dan jasa mak memang tak dapat dibalas oleh kami 6 beradik walau diganti emas segunung sekalipun. Setiap kali waktu peperiksaan, lazimnya saya akan bangun awal pagi, biasanya jam 3 pagi kerana waktu itu tiada gangguan kepada perkara-perkara lain memandangkan perangai saya kalau nak tengok tv, saya akan tengok tv, bila dah habis tengok tv, baru saya belajar. Selalunya pun saya tak ulangkaji pada waktu malam kerana otak dah letih, kalau belajar pun confirm tak masuklah dalam kepala. Jadi bila time peperiksaan, ibu akan bangun bersama-sama dengan saya, dan yang pasti mesti ada segelas air milo panas untuk saya setiap kali saya bangun untuk mengulangkaji. Terima kasih Mak.

Bila di universiti, masae peperiksaan maklah orang yang akan saya telefon sebelum masuk dewan dan seperti biasa mak akan kata pada saya: "Bismillah dan tawakkal pada Allah, InsyaAllah dapat jawab semua", sejuk rasa jiwa dan kuranglah sikit debaran sebelum masa dewan. Enam tahun di UKM dan setiap kali exam saya akan telefon, setiap kertas! Mak tak pernah marah atau mengeluh melayan karenah saya dan nada suaranya sungguh ikhlas, sentiasa mententeramkan hati. Terima kasih mak.

Mak sentiasa dibelakang saya, dari alam kanak-kanak, persekolahan, remaja, memasuki alam pekerjaan hinggalah mendirikan rumahtangga. Kini saya dah pun bergelar ibu, rupa-rupanya payah sungguh membesarkan anak-anak,  semakin anak membesar semakin kita merasai jerihnya nak mendidik anak-anak supaya menjadi anak yang baik dan solehah. Terima kasih mak. Terima kasih mak. Terima kasih mak. Walau berjuta terima kasih sekalipun diucapkan masih tak dapat membalas jasa mak kepada saya, semoga apa yang telah emak berikan kepada saya, kasih sayang dan didikan dibalas Allah dengan tempat terbaik untuk Mak di syurga.


Saya sayang emak. Selamanya.

Thursday, May 5, 2011

Teguran Ikhlas buat Abu-Syafiq

Sungguh tersentak bila membaca tulisan abu syafiq yang menggunakan bahasa-bahasa kasar serta kurang sopan, bukan tidak boleh menegur jika ada kesilapan namun janganlah digunakan bahasa-bahasa kasar kerana ia secara tidak langsung merujuk kepada personaliti kita. Anda seorang pensyarah bukan? Pendapat saya yang serba kekurangan ini jika ada yang perlu didebatkan sekalipun, haruslah dilakukan dengan cara yang baik.
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad!) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.
          (al-Nahl: 125)
Dan saya juga pelik melihat begitu senang mengkafirkan antara satu sama lain bila berbeza pandangan.  Bukankah dilarang mengkafirkan orang islam yang lain selagi mereka mengakui bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah?
 
"BarangsiapaMengkafirkan Seorang Atau Ia Panggil Dia 'Hai Musuh ALLAH', Padahal Ia Tidak Begitu, Melainkan Kembalilah ( Panggilannya ) Itu Kepadanya Sendiri"
           (H.S.R. Muslim).



Fikir-fikirkanlah. Hanya ingatan dari seorang Islam kepada rakan islamnya yang lain. Wallahu'alam.

Tuesday, May 3, 2011

Kismis Doa

Semasa mengemas buku di dalam beg sekolah anak saya pagi tadi, terjumpalah satu pamplet jualan dari syarikat yang tidak diletakkan namanya dan diedarkan pada semua budak-budak mungkin untuk diunjurkan kepada mak dan ayah masing-masing.


Di bahagian atas pamplet itu tertulis dengan huruf yang digelapkan (bold) dan dibesarkan: "Assalamualaikum dan salam sejahtera.. kepada ibubapa yang mementingkan kesihatan dan kecergasan anak-anak, kami pengedar kismis minda solat hajat + Doa Mustajab akan mengadakan promosi jualan di sekolah anak-anak anda".  oooo.. nak buat jualan kat sekolah lah ni. Saya berfikir.

Kemudian dibaca lagi "KISMIS MINDA telah melalui PROSES SOLAT HAJAT, bacaan ayat-ayat suci tertentu sera doa-doa terpilih".  Ish ish ish.. bersungguh-sungguh betul syarikat ni mencari untung. Bila difikirkan, bagaimana nak proses kismis dengan solat hajat? Letak kismis kat depan lepas tu solat dan berdoa untuk kismis? Kemudian baca ayat-ayat quran untuk kismis?  tak faham saya.

Bukankah lebih afdal kalau ibubapa itu sendiri yang mendoakan untuk anak-anaknya, tak payahlah melalui kismis untuk mencari kebijaksanaan dan kesihatan anak. Berdoa kepada tuhan tidak perlukan perantaraan kismis kerana tuhan itu maha mendengar dan maha mengetahui. "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu". (Ghaafir:60).

Hentikalah kepercayaan yang kolot ini kerana tanpa disedari ia mungkin membawa anda kepada kekufuran, meletakkan sebab kismis kepada sesuatu kebaikan yang diperolehi adalah suatu penafian kepada nikmat yang sebenarnya datang dari Allah. Makanlah kismis kerana anda nak makan, bukan perlu makan kismis supaya anda jadi sebagaimana yang diceritakan, kerana itu semua adalah kurniaan tuhan. 

Fikir-fikirkanlah.

Monday, May 2, 2011

Doa ketika memohon petunjuk dari Allah (Doa Istikharah)

Dari Jabir bin Abdillah Radhiallahu’anhu berkata: Adalah Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam mengajari kami solat Istikharah untuk memutuskan segala sesuatu, sebagaimana mengajari surah Al-Quran. Nabi bersabda: “Apabila seseorang di antara kamu mempunyai rencana untuk mengerjakan sesuatu, hendaknya melakukan solat sunnah (Istikharah) dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:


((اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيْمِ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوْبِ. اَللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ -وَيُسَمَّى حَاجَتَهُ- خَيْرٌ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ -أَوْ قَالَ: عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ- فَاقْدُرْهُ لِيْ وَيَسِّرْهُ لِيْ ثُمَّ بَارِكْ لِيْ فِيْهِ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ شَرٌّ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ -أَوْ قَالَ: عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ- فَاصْرِفْهُ عَنِّيْ وَاصْرِفْنِيْ عَنْهُ وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِيْ بِهِ)).


“Ya Allah, sesungguhnya aku meminta pilihan yang tepat kepadaMu dengan ilmu pengetahuanMu dan aku mohon kekuasaanMu (untuk mengatasi persoalanku) dengan kemahakuasaanMu. Aku mohon kepadaMu sesuatu dari anugerahMu Yang Maha Agung, sesungguhnya Engkau Mahakuasa, sedang aku tidak kuasa, Engkau mengetahui, sedang aku tidak mengetahuinya dan Engkau adalah Maha Mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, apabila Engkau mengetahui bahwa urusan ini (orang yang mempunyai hajat hendaknya menyebut persoalannya) lebih baik dalam agamaku, dan akibatnya terhadap diriku atau -Nabi Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: …di dunia atau akhirat- jayakanlah untukku, mudahkan jalannya, kemudian berilah berkah. Akan tetapi apabila Engkau mengetahui bahawa persoalan ini lebih berbahaya bagiku dalam agama, ekonomi dan akibatnya kepada diriku, maka singkirkan persoalan tersebut, dan jauhkan aku daripadanya, takdirkan kebaikan untukku di mana saja kebaikan itu berada, kemudian berilah kerelaanMu kepadaku.”


Terima kasih kepada Perisai Muslim atas pengetahuan ini. Alhamdulillah.

Office Family Day- Sabah

Alhamdulillah dengan rezeki yang dikurniakan Allah dapat lg ofis saya buat hari keluarga untuk kali yang ke-5. Sblm ni pergi ke Genting, then lps tu Langkawi, lps tu Sunway Lagoon, dan tahun lepas ke Indonesia. Tahun ni terpaksa buat awal sikit sebab ada anak-anak staff yang akan menduduki UPSR pada akhir tahun.

Khamis pagi macam biasa kami konvoi dari Kemaman ke LCCT. Berkumpul depan PETRONAS Binjai jam 8 pagi. Flight ke KKIA berlepas jam 4 ptg. Perjalanan ambil masa lebih kurang 5 jam dari kemaman nak kesana + berhenti makan, bilik air + isi minyak. Kami sampai di LCCT lebih kurang jam 2 ptg. Solat dan lepak2 sambil tunggu gate dibuka.

Tahun ni pakai direct agent di sabah. Kami dan pernah guna khidmat Sanabil Tours dan TM tours. Tahun ni tukar angin sikit, alhamdulillah servis yang diberikan oleh Amazing Tours sangat ok.

Bila berjalan ikut itenarary memanglah penat sebab ada limit masa. Melawat kaki gunung kinabalu, pasar nabalu, pasar filipino, makan seafood di restoran nelayan, kilang coklat dan Botanical garden. Memang tak cukuplah kalau pergi 3 hari macam kami sebab masa untuk berjalan dihabiskan atas bas. Nak ke kota kinabalu ambil masa 2 jam setengah dari bandar KK, lepas tu nak balik ke bandar ambil masa 2 jam setengah lagi tapi tak apalah, insyaAllah ada rezeki kami akan kesana lagi.

Sepanjang kami berada di sana kami stay di promenade hotel & apartment. Hotelnya biasa-biasa jelah cuma bilik yg disediakan sesuai untuk family yang datang, 2 katil queen size dan kitchenette. Kami balik ke KL jam 12.30 tengahari, sabtu dan selamat mendarat di KL jam 3 petang. Masing-masing tak balik konvoi seperti biasa kerana ada agenda sendiri almaklumlah hari ahad masih lagu cuti (cuti hari buruh) dan saya sendiri menginap satu malam di Shah Alam kerana ada urusan kerja sebelum bertolak balik ke Kemaman hari Ahad pagi.


Alhamdulillah perjalanan kami kesana lancar dan tiada masalah. Semoga Allah murahkan lagi rezeki kepada kami untuk tahun-tahun mendatang. Amin.

Wednesday, April 27, 2011

TURATH ULAMA'-TV1

SELASA 26/4/2011- Inilah kali pertama saya menyaksikan rancangan ini yang ditayangkan di TV1 jam 7-00 malam. Rancangan ini adalah terbitan JAKIM  dan mula ditayangkan di TV1 pada akhir bulan March baru-baru ini. Hari ini kuliyyah disampaikan oleh Ustaz Azhar Hasyim dan isi kandung adalah berkenaan kitab Faridatul Fara'id iaitu sebuah Kitab berkaitan Tauhid yang dikarang oleh Syeikh Ahmad Al-Fatani.

Pada mulanya saya rasakan rancangan ini biasa-biasa saja, seperti rancangan agama lain yang biasa saya lihat contohnya Tanyalah Ustaz yang setiap hari ditayangkan di TV9 jam 7-8 pagi. Kemudian apabila uztaz menyebut berkenaan AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ) maka terus saya memberi perhatian yang lebih. 

Mengikut terjemahan ustaz ini, ASWJ itu bermaksud orang-rang yang mengikut pendapat Abu Hassan Al-Ashaari dan Abu Mansur Al-Maturidi dan sesiapa yang menolak pendapat ini maka mereka bukan dari golongan ASWJ. 
Huh? Saya terpinga-pinga kerana sebagaimana yang diketahui oleh saya ciri-ciri ASWJ ini adalah orang yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah ,tidak melampau-lampau atau taksub dengan suatu fahaman dan seharusnya merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah yang sahih berdasarkan kefahaman Salafulssoleh. Saya mula jadi macam P. Ramli.. ana sudah confuse, ana confuuuuseeeee.. macamana ini... betulkah apa yang diajarkan?

Kalau Ustaz tersebut memberikan ajaran definasi sedemikian, maka apakah orang-orang yang lahir sebelum kedua-dua ulama' tersebut bukan dari golongan ASWJ? Nabi Kesayangan kita Muhammad SAW dan para sahabat adalah insan-insan yang lahir lama sebelum ulama-ulama yang disebutkan, jadi bagaimana dengan mereka?

Saya rasa amat terkejut dengan kuliyyah-kuliyyah yang mengajar ilmu-ilmu sebegini yang sepatutnya ditapis terlebih dahulu oleh JAKIM kerana ia ditayangkan di TV dan ditonton oleh ribuan manusia kecualilah JAKIM sendiri mengiyakan ajaran-ajaran sebegitu. Mungkinkah? 

Ciri-ciri ASWJ yang saya faham. Anda ingin tahu? 
Klik disini.www.youtube.com/watch?v=zIbeuL_8PLE





Semoga mendapat ilmu yang berguna. Wassalam.

Monday, April 25, 2011

Bersyukur



Dari Abdullah bin A'mr r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Barangsiapa yang berdoa kepada Allah S.W.T., Allah S.W.T. akan memasukkannya di kalangan orang-orang yang bersyukur dan bersabar dan barangsiapa yang tidak berdoa Allah S.W.T. tidak akan menuliskan di kalangan orang-orang yang bersyukur dan bersabar. Dan barangsiapa yang melihat seseorang yang lebih baik dari segi agamanya dan dia mengikutinya, dan mengenai perkara dunia dia melihat orang yang lebih rendah daripadanya dan dalam keadaan itu dia bersyukur kepada Allah S.W.T. (dengan kurniaan dan limpah Allah S.W.T.), Allah S.W.T. akan meletakkannya di kalangan orang-orang yang terbaik dan akan menuliskannya di kalangan orang-orang yang bersyukur dan bersabar dan barangsiapa yang melihat kepada orang yang kurang agamanya dan melihat orang yang lebih dari segi dunianya dan sentiasa mengeluh dalam memperolehi dunianya yang kurang, maka Allah S.W.T. tidak akan menggolongkannya di kalangan orang yang bersabar dan di kalangan orang yang bersyukur."
Hadith riwayat Tirmizi

Sunday, April 17, 2011

Berdoalah! Allah Maha Mendengar.



Kita beranggapan jika apa yang kita doakan tidak diperolehi dengan kadar yang cepat, maka doa kita tidak dimakbulkan. Hari ini kita berdoa dengan harapan permohonan kita diterima tanpa kelewatan, alangkah angkuhnya kita dengan tuhan.

Kita perlu ingat bahawa doa kita sentiasa diterima oleh Allah s.w.t.  Cuma cepat atau lambat yang membezakannya. Jika tidak diperolehi ketika hayat di dunia, Allah pasti telah menyimpan doa tersebut untuk kita di akhirat kelak. Malahan jika doa kita di dunia tidak diperkenankan adalah mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan kepada kita jika dimustajabkan. Jika diberikan, mungkin kita akan hanyut dengan limpahanNya atau mungkin mendapat kerugian dalam kehidupan di dunia atau akhirat. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Allah berfirman (maksudnya):
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).

Berdoa adalah satu ibadat. Lihatlah! Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Walaupun pada dasarnya kita pasti berdoa untuk keperluan diri kita sendiri namun Allah mengurniakan pahala kepada orang yang berdoa tersebut kerana orang-orang yang berdoa itu pasti akan tunduk dengan penuh khusyu’ dan keikhlasan. Sabda Nabi : Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Maka rugilah kita jika tidak berdoa kepadaNya sedangkan doa itu pasti mendatangkan suatu imbuhan atau pulangan kepada kita atas apa yang diminta dan dengan keuntungan berganda apabila diberikan pahala pula untuk setiap doa yang dipohon.

Firman Allah (maksudnya):
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).

Kita bolah berdoa dimana-mana dan pada bila-bila masa namun kita amatlah digalakkan untuk berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam kerana di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda Nabi: Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud. (Riwayat Muslim).

Akhir kalam,semoga kawan-kawan saya yang membaca entri ini tidak putus-putus memanjatkan doa dengan penuh khusyu’ dan keikhlasan diiringi keinsafan kepada Allah swt kerana ianya adalah suatu ibadah sebagaimana dari Riwayat at-Tirmizi disahihkan oleh al-Albani Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.

Semoga doa-doa kalian dimakbulkan tuhan. insyaAllah.

Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan. (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).

-Terima kasih pada tulisan Dr Maza yang memberi saya idea pada coretan ini.-

-Wassalam-