Hari ini adalah hari istimewa kerana setiap tahun hari Ahad minggu kedua bulan Mei diisytiharkan sebagai Hari Ibu. Sebenarnya tidak perlu ditunggu pada hari ini kerana setiap ibu perlu disanjung dan diingat setiap hari. Namun bila adanya hari yang telah dikhaskan untuk setiap ibu dengan pelbagai iklan dan rancangan yang disiarkan sempena sambutannya maka ia adalah satu peringatan yang baik untuk anak-anak yang lupa akan wujudnya jasa insan yang bernama ibu.
Ibu saya hanya seorang yang bersekolah setakat darjah 2, tidak pandai membaca rumi namun boleh menulis dan membaca jawi dengan baik. Namun biasalah tatabahasa jawinya tidaklah sebaik orang-orang lain yang mendapat pendidikan yang lebih sempurna berbanding mak saya. Teringat saya pernah sekali mak menyuruh saya membeli barang-barang dapur di bandar dan senarai-senarai barang semuanya ditulis dengan jawi. Satu barang tu saya baca bunyinya 'kecing'. Huh? beli apa benda namanya kecing? saya pandang mak, saya tanya nak suruh beli kacang ke kecing? mak saya gelak sebab memang dia selalu tulis jawi letak titik suka hati saja. Hahaha sungguh manis kenangan tu. Duit yang diberi memang setiapkalinya akan ada baki dan baki tu mak suruh saya ambil dan masukkan dalam tabung arnab saya, memang tak pernah dia ambil duit baki dari saya. Terima kasih mak.
Setiap ibu semestinya seorang yang tabah dan cekal. Begitu juga mak saya. Sangat tabah membesarkan anak-anak hingga kesemuanya, Alhamdulillah, menjadi insan-insan yang berguna dan jasa mak memang tak dapat dibalas oleh kami 6 beradik walau diganti emas segunung sekalipun. Setiap kali waktu peperiksaan, lazimnya saya akan bangun awal pagi, biasanya jam 3 pagi kerana waktu itu tiada gangguan kepada perkara-perkara lain memandangkan perangai saya kalau nak tengok tv, saya akan tengok tv, bila dah habis tengok tv, baru saya belajar. Selalunya pun saya tak ulangkaji pada waktu malam kerana otak dah letih, kalau belajar pun confirm tak masuklah dalam kepala. Jadi bila time peperiksaan, ibu akan bangun bersama-sama dengan saya, dan yang pasti mesti ada segelas air milo panas untuk saya setiap kali saya bangun untuk mengulangkaji. Terima kasih Mak.
Bila di universiti, masae peperiksaan maklah orang yang akan saya telefon sebelum masuk dewan dan seperti biasa mak akan kata pada saya: "Bismillah dan tawakkal pada Allah, InsyaAllah dapat jawab semua", sejuk rasa jiwa dan kuranglah sikit debaran sebelum masa dewan. Enam tahun di UKM dan setiap kali exam saya akan telefon, setiap kertas! Mak tak pernah marah atau mengeluh melayan karenah saya dan nada suaranya sungguh ikhlas, sentiasa mententeramkan hati. Terima kasih mak.
Mak sentiasa dibelakang saya, dari alam kanak-kanak, persekolahan, remaja, memasuki alam pekerjaan hinggalah mendirikan rumahtangga. Kini saya dah pun bergelar ibu, rupa-rupanya payah sungguh membesarkan anak-anak, semakin anak membesar semakin kita merasai jerihnya nak mendidik anak-anak supaya menjadi anak yang baik dan solehah. Terima kasih mak. Terima kasih mak. Terima kasih mak. Walau berjuta terima kasih sekalipun diucapkan masih tak dapat membalas jasa mak kepada saya, semoga apa yang telah emak berikan kepada saya, kasih sayang dan didikan dibalas Allah dengan tempat terbaik untuk Mak di syurga.
Saya sayang emak. Selamanya.