FOLLOW ME

Tuesday, January 3, 2012

Permulaan ...

Bismillah,

Alhamdulillah melangkah memasuki tahun 2012 seperti biasa, bersyukur kerana Allah telah permudahkan banyak perkara kepada saya di dalam menghadapi dugaan 2011 dan semoga Allah sentiasa melindungi dan terus mempermudahkan saya dan keluarga dalam menjalani kehidupan setiap detik nafas yang ada sehingga ke hujung nyawa dalam menghadapi cabaran 2012 dan seterusnya.

Sebagai peringatan untuk diri ini dan untuk sahabat-sahabat yang dikasihi,

Tidak dinafikan setiap kehidupan pasti ada dugaan, layar kegembiraan pastinya kadangkala dipukul ombak kesedihan, kemurungan dan tekanan, namun ingatlah Allah sentiasa bekalkan kita dengan ubatan- kehadiran keluarga, anak-anak, suami serta sahabat sejati yang sentiasa setia mendengar runtun jiwa, malah jika kita tiada sesiapa, jangan lupa Allah tidak pernah meninggalkan kita walau satu saat untuk mendengar rintihan bila badai menimpa, walaupun kadangkala kita lupa kepadaNya.

Yang penting kita harus melupakan setiap kedukaan kerana ia bukan untuk dikenang. Jangan alpa dengan setiap kesenangan yang datang, kerana kesenangan bukan datang berterusan malah tidak datang bergolek kerana ia harus diusahakan, wajib sentiasa bersyukur dan berdoalah kita kepada tuhan agar ia berkekalan.

Doa saya untuk kalian,

Semoga tahun ini memberikan sejuta kegembiraan kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekelian. Semoga sentiasa diberikan jalan dalam menghadapi kesusahan dan diberikan kemudahan di dalam membuat keputusan malah setiap keputusan yang dibuat itu diberikan berkat yang berkekalan. Semoga Allah memberikan ruang rezeki yang luas dan ilmu yang bermunafaat. InsyaAllah.

Hanya kepada Allah kita memohon dan hanya kepada Allah kita berserah. Amin.