FOLLOW ME

Tuesday, August 2, 2011

Untuk setiap pasangan, jangan berhenti bercinta


Hari ini masuk hari kedua Ramadhan, Alhamdulillah kami sudah melalui Ramadhan sebanyak 7 kali dan ini adalah kali ke8 kami melalui bersama. Saya bangun sekitar 4.30 pagi untuk siapkan sahur kemudian jam 5 akan kejutkan suami dan anak untuk sahur bersama, Alhamdulillah semua macam biasa dan seperti dulu-dulu juga.


Suami saya dari dulu penggemar kari, daging kambing, ikan keli, dan air kesukaannya adalah teh tarik. Saya yakin mana-mana isteri juga pasti tahu kegemaran suami masing-masing cuma mungkin bila ditanyakan pada suami apa kegemaran kita, mungkin dia akan belasah saja dan dari sepuluh mungkin akan ada terkena 3 atau 4, oklah kan. Tidak tahu bukan bererti tidak cinta.

Bagi saya, lamanya tempoh perkahwinan sesuatu pasangan tidak menjamin kebahagian yang berterusan kerana saya merasakan pada tahun awalan, cinta bagi setiap pasangan adalah segala-galanya, namun bila perkahwinan menjangkau beberapa tahun seterusnya, bila cinta mula diuji dengan masalah-masalah dunia, mungkin cinta tidak lagi signifikan di dalam kehidupan setiap pasangan. Sememangnya ia adalah hakikat bahawa suatu yang mustahil dan sukar untuk menemui seseorang yang dapat kekal dengan 'diri' yang sama selama hayatnya.

Saya yakin bukan suami tidak lagi cinta namun suami beranggapan sudah mengenali pasangan masing-masing dari hujung rambut sampai hujung kaki dan bila masing-masing sudah mencapai erti kenal yang maksimum, masing-masing berhenti dari memahami kehendak pasangan. Dan bila berhenti dari mengenali, masalah mula timbul kerana pasangan sudah tidak seperti dulu, isteri sudah tidak lagi mengenali suami kerana suami mula berubah, suara mula tinggi, tidak lagi membelai isteri, anak-anak dibiarkan pada isteri untuk menguruskan sedangkan isteri juga seorang yang bekerja.

Yang sebenarnya mungkin suami tidak pernah berniat untuk menganiayai isteri kerana dia beranggapan isterinya suka melakukan sedemikian, malah pada suami hanya isteri yang tahu menguruskan itu semua, sememangnya dari dulu isteri yang uruskan.

Isteri setelah penat mula memendam perasaan, keletihan dengan urusan pejabat dan setelah pulang mula memegang jawatan surirumah sepenuh masa, baju kerja masih belum disalin, lengan dilipat tinggi, mula menyediakan makanan untuk suami dan anak-anak, kerana itu sememangnya tanggungjawab isteri. Kenapa suami tidak bertanya tentang keadaan isteri pada ketika itu, kerana jawapannya kehidupan sedemikian sudah beransur menjadi suatu rutin yang biasa sepanjang mereka berkahwin.


Saya yakin suatu hubungan tidak akan bertahan lama sekiranya hubungan itu statik, terus dibiarkan dengan anggapan dan tiadanya komunikasi antara pasangan. Sewajarnya rasa cinta antara pasangan harus dibajai setiap hari dengan kejutan-kejutan dari sang suami, mungkin hari ini suami melipat kain menolong sang isteri dan esok si isteri membelikan suami hadiah atau kad ucapan tanda sayang, kejutan adalah baja yang paling baik kepada suatu perhubungan. Saya merasakan suami harus bertanya perasaan isteri setiap kelapangan agar isteri merasakan dirinya diperlukan dan diambil berat. Saling menghargai, itu yang penting.

Untuk suami saya, terima kasih kerana hadiahkan jam baru, satu kejutan yang sungguh sweet kerana jarang-jarang abang buat, alhamdulillah atas hubungan yang kita bina, semoga terus dibajai hingga akhir hayat kita.

Wassalam.


Credit utk: ummuhusna.