Kita beranggapan jika apa yang kita doakan tidak diperolehi dengan kadar yang cepat, maka doa kita tidak dimakbulkan. Hari ini kita berdoa dengan harapan permohonan kita diterima tanpa kelewatan, alangkah angkuhnya kita dengan tuhan.
Kita perlu ingat bahawa doa kita sentiasa diterima oleh Allah s.w.t. Cuma cepat atau lambat yang membezakannya. Jika tidak diperolehi ketika hayat di dunia, Allah pasti telah menyimpan doa tersebut untuk kita di akhirat kelak. Malahan jika doa kita di dunia tidak diperkenankan adalah mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan kepada kita jika dimustajabkan. Jika diberikan, mungkin kita akan hanyut dengan limpahanNya atau mungkin mendapat kerugian dalam kehidupan di dunia atau akhirat. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Allah berfirman (maksudnya):
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).
Berdoa adalah satu ibadat. Lihatlah! Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Walaupun pada dasarnya kita pasti berdoa untuk keperluan diri kita sendiri namun Allah mengurniakan pahala kepada orang yang berdoa tersebut kerana orang-orang yang berdoa itu pasti akan tunduk dengan penuh khusyu’ dan keikhlasan. Sabda Nabi : Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Maka rugilah kita jika tidak berdoa kepadaNya sedangkan doa itu pasti mendatangkan suatu imbuhan atau pulangan kepada kita atas apa yang diminta dan dengan keuntungan berganda apabila diberikan pahala pula untuk setiap doa yang dipohon.
Firman Allah (maksudnya):
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).
Kita bolah berdoa dimana-mana dan pada bila-bila masa namun kita amatlah digalakkan untuk berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam kerana di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda Nabi: Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud. (Riwayat Muslim).
Akhir kalam,semoga kawan-kawan saya yang membaca entri ini tidak putus-putus memanjatkan doa dengan penuh khusyu’ dan keikhlasan diiringi keinsafan kepada Allah swt kerana ianya adalah suatu ibadah sebagaimana dari Riwayat at-Tirmizi disahihkan oleh al-Albani “Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.
Semoga doa-doa kalian dimakbulkan tuhan. insyaAllah.
Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan. (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).
-Terima kasih pada tulisan Dr Maza yang memberi saya idea pada coretan ini.-
-Wassalam-
No comments:
Post a Comment