FOLLOW ME

Tuesday, May 3, 2011

Kismis Doa

Semasa mengemas buku di dalam beg sekolah anak saya pagi tadi, terjumpalah satu pamplet jualan dari syarikat yang tidak diletakkan namanya dan diedarkan pada semua budak-budak mungkin untuk diunjurkan kepada mak dan ayah masing-masing.


Di bahagian atas pamplet itu tertulis dengan huruf yang digelapkan (bold) dan dibesarkan: "Assalamualaikum dan salam sejahtera.. kepada ibubapa yang mementingkan kesihatan dan kecergasan anak-anak, kami pengedar kismis minda solat hajat + Doa Mustajab akan mengadakan promosi jualan di sekolah anak-anak anda".  oooo.. nak buat jualan kat sekolah lah ni. Saya berfikir.

Kemudian dibaca lagi "KISMIS MINDA telah melalui PROSES SOLAT HAJAT, bacaan ayat-ayat suci tertentu sera doa-doa terpilih".  Ish ish ish.. bersungguh-sungguh betul syarikat ni mencari untung. Bila difikirkan, bagaimana nak proses kismis dengan solat hajat? Letak kismis kat depan lepas tu solat dan berdoa untuk kismis? Kemudian baca ayat-ayat quran untuk kismis?  tak faham saya.

Bukankah lebih afdal kalau ibubapa itu sendiri yang mendoakan untuk anak-anaknya, tak payahlah melalui kismis untuk mencari kebijaksanaan dan kesihatan anak. Berdoa kepada tuhan tidak perlukan perantaraan kismis kerana tuhan itu maha mendengar dan maha mengetahui. "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu". (Ghaafir:60).

Hentikalah kepercayaan yang kolot ini kerana tanpa disedari ia mungkin membawa anda kepada kekufuran, meletakkan sebab kismis kepada sesuatu kebaikan yang diperolehi adalah suatu penafian kepada nikmat yang sebenarnya datang dari Allah. Makanlah kismis kerana anda nak makan, bukan perlu makan kismis supaya anda jadi sebagaimana yang diceritakan, kerana itu semua adalah kurniaan tuhan. 

Fikir-fikirkanlah.

1 comment:

NoorGie said...

betullah jie, kadang2 geram dengan segelintir manusia yg menggunakan agama untuk mencari keuntungan...wallahua'alam